Isu keruntuhan siling di pejabat-pejabat Kerajaan baru-baru ini benar-benar mengusarkan Samy Vellu. Siasatan telah dijalankan oleh Kementerian Kerjaraya.Namun keputusan bagi menguatkuasakan penggunaan siling plaster bagi mengantikan siling jenis akustik bagi semua projek baru pada masa akan datang dijangka tidak dapat menyelesaikan masalah ini.
 
Siling plaster memang agak mahal kerana ia diperbuat dari campuran batu kapur. Walau bagaimanapun ia juga tidak mampu menampung barang yang berat dan mempunyai risiko untuk bocor sama seperti siling akustik. Ia juga mampu menjadi tempat pembiakan kulat bila terkena air.
 
Isu sebenar dalam kes ini adalah tentang cara dan kualiti kerja kontraktor yang diupah bagi menjalankan projek-projek pembinaan bangunan kerajaan. Terdapat sesetengah kontraktor yang gagal dalam memastikan projek yang dijalankan oleh mereka itu menjadi projek berkualiti ekoran terlalu banyak politiking dalam mendapatkan kontrak di peringkat awal.
 
Mereka juga gagal menyediakan tenaga mahir yang mencukupi dan bergantung pada pekerja asing yang kurang mahir dan tidak memahami etika keselamatan dalam sektor pembinaan dengan baik.
 
Walaupun projek berjaya disiapkan kadangkala ada kontraktor yang tidak membuat pemeriksaan menyeluruh dan tertinggal barang-barang yang tidak berguna di atas siling.
 
Terdapat juga kontraktor penyelenggaraan yang tidak cermat dan meletakkan barang-barang kerja mereka bukan didalam stor tapi di atas siling.
 
Penialaian kualiti yang dibuat oleh pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR), juga perlulah lebih teliti dan memastikan mereka tahu apa bahan dan kualiti produk yang diguna bagi pembinaan bangunan Kerajaan.
 
Mereka tidak seharusnya bersikap sambil lewa dan membiarkan masalah muncul baru bertindak. Terdapat sesetengah pegawai JKR yang melakukan penyeliaan dengan sambil lewa dan menghabiskan masa membuat lawatan ditapak projek dengan minum bersama kontraktor. Mereka tidak memeriksa secara terperinci setiap kerja-kerja yang dilakukan.
 
Terdapat juga projek-projek yang belum siap sepenuhnya tetapi diumumkan siap oleh Samy Vellu bagi memastikan dateline dalam piagam pelanggan tercapai walaupun ianya bohong.
 
Antara bukti yang paling jelas adalah Projek Bangunan MATRADE yang diserahkan pada MITI pada awal tahun ini. Sistem janakuasa elektrik, lif dan beberapa perkara dalam bangunan ini belum lagi siap sepenuhnya walaupun bangunan tersebut telah digunakan oleh MATRADE.
 
Selain itu, pada bulan Mei lepas Samy juga mengumumkan bahawa projek Terowong SMART atau Terowong Bistari telah siap sepenuhnya. Tetapi bila berlaku banjir pada awal bulan Jun barulah dia mengakui bahawa projek tebatan banjir masih lagi belum siap.
 
Pengalaman ini amat berharga bagi rakyat kerana ianya telah berjaya membuka mata rakyat untuk melihat kelemahan Samy Vellu yang selalu berdolak-dalik dan memberikan jawapan emosi tanpa benar-benar menyelidiki masalah yang dialami.
 
Sudah sampai masanya Kementerian Kerjaraya menerima Menteri baru bagi menggantikan Samy. “Bapak borek anak rintik”, inilah yang berlaku dalam Kementerian ini sekarang. Jadi dengan ketiadaan Samy dan digantikan orang lain mungkin suasananya agak berbeza.
Cuma kita berharap agar orang ini benar-benar ingin bekerja untuk rakyat dan tidak menyalahgunakan peluang yang ada sebagaimana yang dilakukan oleh Samy sekarang
- Herman Samsudeen
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
http://dppwp.wordpress.com

Blog Herman Samsudeenhttp://syukran.wordpress.com

Pembebasan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock daripada tuduhan pecah amanah jenayah (Criminal Breach of Trust – CBT) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melengkapkan lagi episod malap sistem perundangan tanahair, sekaligus mencalarkan lagi sistem kehakiman negara yang sedia parah.

Ia membuktikan dengan jelas betapa benarnya kenyataan pimpinan tertinggi PAS bahawa pendakwaan terpilih (selective prosecution) yang dibuat terhadap Eric Chia dan Kasitah Gadam adalah pendakwaan yang bersifat “kosmetik” semata-mata dan bertujuan kononnya untuk menggambarkan betapa tegasnya kerajaan Pak Lah untuk memerangi rasuah menjelang Pilihanraya Umum 2004 yang lalu.

Natijahnya, selama hampir tiga tahun rakyat dihidangkan dengan sandiwara palsu lakonan pihak-pihak yang kononnya berniat suci untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi.Pembebasan Eric Chia tanpa dipanggil membela diri adalah tamparan hebat kepada pihak pendakwaan dan pejabat Peguam Negara yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan efektif dan munasabah dalam kes berprofil tinggi seperti ini.

Pembebasan Eric Chia tersebut adalah atas faktor “teknikal” semata-mata di mana pihak pendakwa telah gagal memanggil dua saksi utama untuk memberi keterangan berkenaan tuduhan tersebut.

Ini ditambah dengan pertuduhan-pertuduhan yang mengelirukan dan keterangan lisan dan dokumen dari saksi-saksi pendakwa sendiri yang bercanggah, yang membuatkan mahkamah memutuskan bahawa tidak ada prima facie kes terhadap Eric Chia.

Pemuda PAS WP menganggap ketidakberkesanan proses pendakwaan ini adalah suatu yang amat serius kerana ia mencerminkan kredibiliti badan perundangan negara dalam menangani kes-kes jenayah yang melibatkan keselamatan rakyat.

Jika kes sebesar ini pun, siasatan dan pendakwaan dibuat sambil lewa dan sekadar melepaskan batuk di tangga, bagaimana pula dengan kes-kes jenayah yang lain? Apakah harapan yang ada pada rakyat untuk melihat keadilan terlaksana sekiranya penjenayah-penjenayah terus dibebaskan di jalanan akibat dari kecuaian dan kelalaian pihak pendakwa dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Pemuda PAS WP juga mempersoalkan bagaimana keterangan saksi-saksi yang diambil di Jepun, Switzerland dan Hong Kong tidak diterima (inadmissable) oleh mahkamah kerana tidak mengikut Akta Keterangan dan Kanun Prosedur Jenayah negara ini. Apakah pasukan pendakwa tidak sedar hal ini dan hanya pergi melancong dan menghabiskan wang rakyat semata-mata sedangkan hasilnya amat sia-sia.

Rakyat berhak mempersoalkan kredibiliti sistem perundangan negara jika perkara-perkara seperti ini terus berlaku, dalam keadaan indeks jenayah negara yang semakin meningkat dari hari ke sehari.

Rakyat juga berhak menyimpan rasa syak wasangka yang mendalam terhadap keputusan kes-kes berprofil tinggi lain seperti kes rasuah melibatkan Tan Sri Kasitah Gadam dan kes pembunuhan Altantuya yang sedang dalam proses perbicaraan, jika beginilah keadaannya sistem kehakiman kita.

Apa yang jelas, tindakan kerajaan pimpinan Pak Lah yang secara rakus memperalatkan jentera-jentera kerajaan untuk kepentingan politik sempit mereka semakin terserlah dan harus dikecam hebat kerana ia meruntuhkan institusi keadilan yang semakin nyawa-nyawa ikan.

Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Lawati Blog DPPWP di http://dppwp.wordpress.com

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.